Penderma organ daripada orang melayu semakin meningkat pada tahun ini

KUALA LUMPUR 17 Mei - Bilangan pengikrar penderma organ dalam kalangan masyarakat Melayu meningkat dengan ketara selepas 1,847 orang atau 39.41 peratus daripada 4,687 orang mendaftar sebagai penderma organ bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jumlah itu menjadikan penderma organ Melayu sehingga kini sebanyak 47,654 orang daripada keseluruhan 222,795 orang sejak kempen menderma organ diperkenalkan pada 1997. 


"Ini membuktikan tahap kesedaran masyarakat terutamanya orang Melayu berhubung pendermaan organ meningkat sekali gus memberi mesej penerimaan umat Islam semakin baik serta membetulkan persepsi orang ramai mengenai kurangnya minat masyarakat Melayu terhadap usaha ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan kempen Teksi Reben Hijau - Satu Ikrar Sejuta Harapan di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengurus Pusat Sumber Transplan Nasional, Datin Dr. Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor. Lam Thye berkata, walaupun terdapat peningkatan dari segi jumlah pengikrar penderma organ tahun ini, jumlah itu hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan rakyat di negara ini. 

Sedangkan, tambah beliau, bilangan pesakit yang menunggu pelbagai jenis organ pula adalah sebanyak 17,218 orang. Sementara itu, Fadhilah Zowyah Lela Yasmin berkata, kekurangan maklumat berkenaan pendermaan organ dikenal pasti menjadi penyebab kurangnya jumlah penderma organ. Menurut beliau, masih ramai tidak mengetahui di mana dan bagaimana untuk mendaftar sebagai penderma organ dan kempen Teksi Reben Hijau - Satu Ikrar Sejuta Harapan dilihat mampu menyebar luas berhubung maklumat tersebut. 

"Menerusi kempen ini, sebanyak 300 teksi akan bergerak di Lembah Klang dengan membawa mesej pendermaan organ. "Selain menampal iklan pada teksi, pemandu teksi juga akan dibekalkan risalah untuk diedarkan kepada orang ramai yang berminat menjadi penderma organ," katanya.